Sunday 5 June 2011

Terengganu Vs Kelantan; Perlawanan Penentu Kejuaraan Liga Super


 Perlawanan tumpuan minggu ini tentunya pertembungan 'Top of The Table' antara 2 pasukan teratas Liga Super, Terengganu menentang Pendahulu Liga, Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah esok. Perlawanan ini dijangka sengit karana kedua-dua pasukan kini terikat dengan mata yang sama dan hanya dibezakan dengan jumlah gol sahaja. Perlawanan ini bakal memberikan kelebihan kepada pasukan yang menang untuk berada di puncak Liga dan seterusnya berkemungkinan besar memenangi kejuaraan Liga Super tahun ini. Pertembungan ini juga bakal memberi gambaran awal kepada perlawanan akhir Piala FA yang akan berlangsung pada 11/6 nanti. Jika dilihat dari prestasi semasa, kedua-dua pasukan dilihat agak seimbang dengan masing-masing telah mengalami kekalahan pertama di gelanggang sendiri.

Perbadingan Pasukan

Serangan:
Prestasi 2 penyerang kebangsaan, Abdul Hadi Yahya dan Norshahrul Idlan dijangka bakal menjadi penentu kepada keputusan perlawanan ini. Kedua-dua pemain beraksi cemerlang bersama ketika seri menentang Hong Kong dimana Abdul Hadi menjaringkan gol penyamaan dan juga gol pertamanya di peringkat antarabangsa lima minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian. Hadi kini mendahului carta senarai penjaring Terbanyak Liga Super dengan 15 gol berbanding 14 dari Norshahrul setakat ini. Terengganu mempunyai kelebihan kerana mempunyai seorang lagi penyerang yang berbisa iaitu Abdul Manaf Mamat. Manaf telah menjaringkan 11 gol setakat ini dan gandingannya dengan Hadi sememangnya akan menggerunkan pertahanan lawan.

Tengah:
Di bahagian tengah pula, kedua-dua pasukan mempunyai keupayaan yang agak sama. Kelantan mempunyai sedikit kelebihan dengan Terengganu bakal beraksi tanpa pemain prolifik mereka, Ashaari samsudin yang digantung. Kelantan juga mempunyai kelebihan dari segi kelajuan iaitu dari 2 pemain sayap mereka, Nurul Azwan Roya dan S. Chanturu. Bahagian tengah pula, gandingan Ismail Faruqi-Reeshafik Alwi untuk Terengganu dan Badhri Radzi-Shakir Shaari untuk Kelantan mempunyai gaya permainan yang hampir sama. Kedua-dua gandingan mempunyai kawalan bola yang baik dan juga keupayaan untuk membantu bahagian serangan.

Pertahanan:
Kelantan mempunyai masalah kecederaan di bahagian pertahanan dengan gandingan tengah Farisham Ismail-S. Subramaniam bergelut dengan kecederaan. Rizal Fahmi mungkin akan diturunkan pada perlawanan ini. Bek kiri, Zairul Fitree pula digantung 2 perlawanan selepas mendapat kad kuning ke-6 musim ini. Terengganu pula tidak mempunyai sebarang masalah dengan Marzuki Yusuf tentunya menjadi nadi dibahagian pertahanan Terengganu. Prestasi bek kanan, Helmi Remeli juga semakin meningkat sehinggakan dipilih oleh K. Rajagobal untuk mewakili pasukan kebangsaan malah menjadi pilihan untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.

Penjaga Gol:
Khairul Fahmi bakal terlepas perlawanan ini kerana bersama skuad Olimpik ke Kemboja unttuk perlawanan persahabatan dan tempat dia akan diisi penjaga gol simpanan, Shahrizan Ismail. Terengganu seperti biasa akan mengharapkan kelibat Sharbinee Allawee untuk menyekat asakan Kelantan.

Secara keseluruhan, Terengganu mempunyai sedikit kelebihan dengan sokongan penyokong di tempat sendiri dan tidak mempunyai masalah kecederaan pemain. Namun, percaturan M. Karathu dan Irfan Bakti juga dilihat penting dalam menentukan keputusan perlawanan ini. Dalam perlawanan terdahulu pada pusingan pertama di Kota Bharu 1 Februari lalu, Kelantan mendahului Terengganu menerusi gol Badhri Radzi sebelum Marzuki Yusuf menyamakan kedudukan untuk keputusan penuh 1-1. Perlawanan akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Arena malam esok.


Jadual Penuh Perlawanan Liga Super 6/6/2011
Kedudukan Carta Liga Super
Senarai Penjaring Terbanyak Liga Super

3 comments:

Nuffnang ads

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...