Monday, 14 March 2011
Preview Kelantan Lawan Felda United; Suku Akhir Piala FA
Saingan Piala FA Malaysia diteruskan lagi Selasa ini dengan pertemuan yang dijangka sengit antara 2 pasukan tangga teratas Liga Super, Kelantan dan Felda United. Kelantan tentunya ingin menebus kembali maruah setelah menerima kekalahan pertama di tangan Pahang dalam saingan Liga Super sabtu lepas manakala Felda ingin meneruskan kecemerlangan mereka musim dengan menduduki tangga kedua Liga Super selepas mencatat kemenangan keempat mereka minggu lalu.
Prestasi yang kurang meyakinkan daripada pemain-pemain The Red Warriors meresahkan penyokong-penyokong setia mereka. Rangkaian serangan dikatakan kurang berkesan dan terlalu mengharapkan penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha. Mereka gagal menyempurnakan banyak peluang di hadapan pintu gol dalam perlawanan di Kuantan tempoh hari. Prestasi turun naik kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi atau Piya juga turut membimbangkan. Selepas memulakan musim dengan cemerlang dengan 2 gol dalam 2 perlawanan termasuk 1 gol ketika menentang Selangor pada Piala Sumbangsih, permainan Piya dilihat kurang berkesan dan pakar sepakan percuma ini juga tidak lagi berbisa ketika mengambil sepakan percuma. Bahagian pertahanan juga nampak longgar dengan membenarkan Pahang menjaringkan 2 gol mudah dan dilihat agak leka. Jurulatih, Datuk M. Karathu kini memikul tugas berat untuk mengembalikan keyakinan penyokong setia The Red Warriors dan hanya 1 sahaja cara; iaitu menang menentang Felda di kubu mereka, Stadium Sultan Muhammad ke-4.
Pasukan Felda yang diterajui jurulatih, E. Elavarasan turun menentang Kelantan dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan pasukan tercorot Liga Super, Perlis 2-0 sabtu lalu. Gol hasil jaringan 2 penyerang utama, Faderin Kadir dan Zamri Chin cukup untuk meletakkan Felda di tangga kedua Liga dibelakang Kelantan dengan mata yang sama cuma kelebihan jaringan memihak Kelantan. Gabungan ramai pemain berpengalaman menjadi ramuan utama kejayaan Felda United setakat ini. Pemain-pemain dilihat mempunyai keserasian yang tinggi dan amat berkesan ketika melakukan serangan. Bahagian pertahanan yang diterajui pemain berpengalaman Khironnisam Sahabudin dan bekas penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad juga beraksi dengan baik dengan hanya melepaskan 3 gol sahaja dalam 7 perlawanan liga setakat ini.
Perlawanan suku akhir ini akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-4, Kota Bharu jam 8.45 malam. Sama-samalah kita beramai-ramai memberi sokongan.
Barisan Kemungkinan:
Kelantan - Khairul Fahmi, Daudsu, Rizal Fahmi, S. Subramaniam, Zairul Fitree, Shakir, Piya (c), S. Chanturu, Nurul Azwan Roya, Norshahrul dan K. Soley.
Felda United - Hamsani, Abd. Ghani, Khaironnisam, Liew Kit Kong (c), Hasmarul, Azi Shahril, Mohd Lot, K. Rajan, Nizarudin Yusof, Faderin dan Zamri Chin.
Ramalan BBT: Kelantan 2 - Felda 1
Jadual Perlawanan Suku Akhir Piala FA
Kedudukan terkini Liga Super
Senarai Penjaring Terbanyak Liga Super
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment