Saturday, 30 April 2011

Terengganu, Selangor Berkongsi Mata

Terengganu gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar terikat seri 1-1 di Kuala Terengganu dalam aksi Liga Super semalam. Lebih 10 ribu penyokong setia Terengganu yang membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Selangor menerusi jaringan Safiq Rahim lewat separuh masa pertama yang dilihat berpunca daripada kelalaian pertahanan Terengganu. Safiq yang menerima hantaran cantik Amri Yahyah mudah menewaskan penjaga gol, Sharbinee Allawee. Separuh masa kedua, Terengganu terus melancarkan serangan mencari gol penyamaan namun pertahanan Selangor yang dikemudi Nasriq Baharom dan Yosri Derma Raju kental bertahan sehinggalah minit ke-63. Joseph Kallang yang beraksi cemerlang sepanjang permainan bijak menghantar bola kedepan pintu gol dan disambar pemain tengah, Ismail Faruqi untuk menyamakan kedudukan. Selepas itu keadaan menjadi tegang dengan Terengganu terus menyerang dan tindakan penyokong yang membaling objek ke padang sedikit mencemar permainan yang menarik. Keputusan seri itu kekal sehingga tamat permainan dan Selangor kekal di tangga teratas Liga Super sekurang-kurangnya selama 24 jam. Kelantan boleh memintas Selangor dan juga Terengganu sekiranya menang perlawanan mereka menentang Kuala lumpur di Kota Bharu malam ini.


Dalam 1 lagi aksi Liga Super yang berlangsung semalam, rekod tanpa kalah Perak di halaman sendiri dimusnahkan Kedah dengan kemenangan selesa 3-1. Kedah yang dibimbing secara rasmi oleh bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Hassan semalam beraksi cemerlang dengan mendahului Perak 1-0 pada separuh masa pertama menerusi gol jaringan Faizal Abu Bakar. Kedah menambah gol pada separuh masa kedua menerusi Firdaus Faudzi dan mengesahkan kemenangan menerusi gol ketiga jaringan sendiri pertahanan Perak, Khairil Zainudin sebelum Perak memperoleh gol saguhati lewat permainan hasil jaringan Mohd Nor Hazrul. Kemenangan ini melonjakkan kembali Kedah ke tangga ke-4 Liga bertukar tempat dengan Perak. Berikut adalah kedudukan terkini Liga Super selepas 2 perlawanan yang berlangsung semalam.


Malam ini 5 lagi perlawanan akan berlangsung dengan tumpuan kepada Kelantan yang boleh menjadi pendahulu baru sekiranya menang malam ini. Astro Arena pula akan menyiarkan perlawanan antara T-Team dan Pahang secara langsung malam ini.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang ads

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...