Sunday 28 August 2011

Arsenal Bakal Dapatkan Khidmat Kapten Korea Selatan

Selepas kehilangan 2 pemain utama mereka, Arsenal dilaporkan bakal mengemukakan tawaran kepada penyerang dan juga kapten skuad Korea Selatan, Park Chu-Young. Park yang kini bersama kelab Ligue 1 Perancis, Monaco dikatakan akan ke London dalam masa 24 jam untuk menjalani ujian kesihatan bersama Arsenal. Arsenal dilaporkan telah bersetuju dengan yuran perpindahan yang dianggarkan dalam lingkungan 10 Juta Pound.

Park sebelum ini pernah berbincang dengan satu lagi kelab Ligue 1, Lille sebelum ini tetapi menolak tawaran pada saat-saat akhir selepas Arsenal menghubunginya dan menyatakan minat. Park, 26 tahun menyertai Monaco pada 2008 dan semenjak itu telah menjaringkan 25 gol dalam 91 penampilan dalam liga. Park menggantikan pemain Manchester United, Park Ji Sung sebagai kapten Korea selepas Ji Sung bersara dari arena bolasepak antarabangsa selepas kejohanan Piala Asia pada 2011 awal tahun ini.

Friday 26 August 2011

Keputusan Undian Kumpulan Liga Juara-Juara Eropah 2011/2012

32 pasukan diundi kedalam 8 kumpulan untuk peringkat awal Liga Juara-Juara Eropah 2011/2012. berikut adalah keputusan undian yang dijalankan:

Kumpulan A: Bayern Munich, Villareal, Manchester City, Napoli

Kumpulan B: Inter Milan, CSKA Moscow, Lille, Trabzonspor

Kumpulan C: Manchester United, Benfica, Basel, Otelul Galati

Kumpulan D: Real Madrid, Lyon, Ajax, Dinamo Zagreb

Kumpulan E: Chelsea, Valencia, Bayer Leverkusen, RKC Genk

Kumpulan F: Arsenal, Marseille, Olympiacos, Borussia Dortmund

Kumpulan G: Porto, Shakhtar Donetsk, Zenit St. Petersburg, APOEL

Kumpulan H: Barcelona, AC Milan, BATE Borisov, Viktoria Plzen


Thursday 25 August 2011

Senarai 32 Pasukan Liga Juara-Juara Eropah 2011/2012

Arsenal menewaskan Udinese 3-1 secara agregat awal pagi tadi untuk menyertai 31 lagi pasukan ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah 2011/2012. Pertandingan tahun ini menyaksikan 11 pasukan yang pernah muncul juara dan 5 pasukan yang baru pertama kali menyertai kejohanan ulung kelab Eropah termasuk Manchester City.

Undian untuk menentukan kumpulan akan berlangsung tengah malam ini jam 12 tengah malam. Berikut merupakan kedudukan pasukan dalam balang mengikut pilihan yang diletakkan UEFA.

Balang 1: Barcelona, Man Utd, Chelsea, Bayern Munich, Arsenal, Real Madrid, Porto, Inter Milan

Balang 2: AC Milan, Lyon, Shakhtar Donetsk, Valencia, Benfica, Villareal, CSKA Moscow, Marseille

Balang 3: Zenit St Petersburg, Ajax, Bayer Leverkusen, Olympiacos, Man City, Lille, Basel, BATE Borisov

Balang 4: Borussia Dortmund, Napoli, Dinamo Zagreb, APOEL, Trabzonspor, Genk, Viktoria Plzen, Otelul Galeti

Senario disini adalah, setiap satu pasukan dalam setiap balang akan mengisi setiap kumpulan. Pasukan dari negara yang sama tidak boleh diundi dalam kumpulan yang sama. Undian ini akan berlangsung di Monaco.

Wednesday 24 August 2011

Bidaan 30 Juta Pound Chelsea Ditolak; Modric Kekal Bersama Spurs

Usaha Chelsea untuk mendapatkan pemain tengah Tottenham Hotspur, Luka Modric hampir tidak menjadi kenyataan apabila Spurs sekali lagi menolak tawaran terbaru sebanyak 30 Juta Pound yang dikemukakan Chelsea.

Pemilik dan juga pengerusi Spurs, Daniel Levy menegaskan bahawa Spurs akan menolak semua tawaran yang dikemukakan kelak untuk Modric dan menyatakan bahawa Modric akan kekal bersama kelab itu musim ini. Chelsea dalam tawaran terbaru dilaporkan turut menawarkan Yossi Benayoun kepada Spurs sebagai sebahagian daripada tawaran.

Dalam pada itu, Spurs dilaporkan semakin hampir untuk menandatangai perjanjian pinjaman penyerang Manchester City, Emmanuel Adebayor untuk tempoh setahun. Adebayor yang menghabiskan musim lepas menjadi pemain pinjaman di Real Madrid dikehendaki oleh Harry Redknapp untuk mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan pasukannya.

Tuesday 23 August 2011

Mister Potato Jadi Penaja Rasmi Manchester United

Syarikat pembuatan makanan ringan Malaysia, Mamee Double Decker Bhd. dilaporkan bersetuju untuk menjadi penaja kepada kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United. Syarikat itu akan mempromosikan produk 'Mister Potato' kepada dunia melalui kerjasama dengan United.

Jika anda menonton perlawanan Manchester United menentang Tottenham Hotspur awal pagi tadi, anda tentunya akan perasan iklan Mister Potato telahpun tertera di papan iklan di Old Trafford. Perjanjian penajaan itu juga membolehkan Syarikat menggunakan logo dan imej pemain-pemain United seperti Rooney, Giggs dan Ferdinand pada produk keluaran syarikat. Nilai keseluruhan dan tempoh tajaan tidak disebut dan belum ada pengumuman rasmi dibuat kedua-dua pihak.


Dalam pada itu, United juga mengumumkan penajaan bernilai 40 Juta Pound daripada syarikat logistik terkemuka, DHL. Penajaan selama 4 tahun itu akan menyaksikan logo DHL akan tertera pada pakaian latihan pasukan United, penajaan yang pertama seumpamanya dalam Liga Perdana Inggeris.

Monday 22 August 2011

Gaji Eto'o RM 1.75 Juta Seminggu..!!!

Penyerang antarabangsa Cameroon, Samuel Eto'o kini menjadi pemain mendapat gaji tertinggi di dunia selepas menyertai kelab Liga Russia, Anzhi Makhachkala. Eto'o dilaporkan menandatangani kontrak yang menyaksikan dia menerima gaji 18 Juta Pound ataupun bersamaan RM 90 Juta setahun ataupun RM 1.75 Juta seminggu. Inter menjual Eto'o kepada Anzhi dengan yuran perpindahan 22 Juta Pound.

Anzhi FC yang kini dimiliki Jutawan Russia, Suleiman Kerimov yang juga seorang senator di Russia. Kerimov dilaporkan mempunyai harta sebanyak lebih RM 20 Billion yang diperolehi dari pelbagai sumber seperti petroleum, perlombongan dan perhotelan.
Kerimov menjadi tulang belakang kepada sumber kewangan Anzhi
Pembelian terbaru ini menjadikan pembelian besar ketiga kelab itu musim ini selepas membeli Roberto Carlos dan Yuri Zhirkov sebelum ini. Terbaru, Anzhi dikatakan bakal membuat bidaan terhadap pemain pertahanan Barcelona, dani Alves dengan menawarkan sejumlah 35 Juta Pound. Anzhi juga pernah membida sebanyak 40 Juta Pound kepada Santos untuk mendapatkan Neymar tetapi gagal.

Juan Mata Kini Sah Pemain Chelsea

Chelsea manguatkan lagi skuad mereka bagi menghadapi musim baru Liga Perdana Inggeris dengan memperoleh pemain tengah Valencia, Juan Mata. Laporan ini disahkan sendiri Valencia dengan mengumumkan bersetuju menerima tawaran yang dikemukakan oleh Chelsea. Chelsea dikatakan membayar Valencia 22-25 Juta Pound untuk pemain yang juga menjadi sasaran Arsenal itu.

Mata berusia 23 tahun dan bermain di posisi sayap kiri. Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas sememangnya mencari seorang pemain sayap yang berkualiti untuk memantapkan skuadnya dan melihat kelemahan di posisi itu. Mata merupakan salah seorang pemain dalam skuad kebangsaan Sepanyol yang memenangi Piala Dunia di Afrika Selatan tahun lepas.

Pemain muda, Lukaku menyertai Chelsea minggu lepas
Pembelian terbaru ini jelas menunjukkan keinginan Chelsea untuk merampas kembali takhta liga dari Manchester United. Chelsea juga sedang dalam proses untuk 'menggantikan' pemain-pemain senior yang agak berusia dengan pemain-pemain muda. Sebelum ini, Chelsea juga mendapatkan seorang penyerang berprofil tinggi iaitu Romelu Lukaku yang baru berusia 18 tahun.

Monday 15 August 2011

Arsenal Akhirnya Setuju Jual Fabregas Kepada Barcelona

Setelah berlarutan sehingga bertahun-tahun, Arsenal akhirnya menyerah kalah dan melepaskan kapten mereka, Cesc Fabregas kepada Barcelona. Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengesahkan berita ini di laman web rasmi arsenal.com. Barca dilaporkan membayar Arsenal 35 Juta Pound untuk pemain berusia 24 tahun itu.

Wenger memberi kenyataan bahawa Arsenal sememangnya mahu mengekalkan Fabregas tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana ini pilihan Fabregas sendiri. Beliau juga menyatakan terima kasihnya kepada bekas kapten itu dan berharap yang terbaik di masa depan. Fabregas akan menjalani ujian kesihatan bersama Barcelona hari ini sebelun menandatangani kontrak bersama kelab Catalan itu.


Thursday 11 August 2011

Jose Enrique Jadi Pemain Ke-5 Sertai Liverpool

Bekas pemain pertahanan Newcastle, Jose Enrique menjadi pemain ke-5 menyertai Liverpool menjelang musim baru Liga Perdana Inggeris. Enrique baru sahaja selesai menjalani ujian kesihatan di Anfield sebelum mengesahkan perpindahan dengan menandatangani kontrak bersama kelab barunya, Liverpool. Pemain berusia 25 tahun itu menyertai Liverpool dengan yuran perpindahan 6 Juta Pound.
Jose Enrique menjalani ujian kesihatan dengan Liverpool
Enrique yang bermain di posisi bek kiri menyertai Newcastle dari Villareal pada 2007. Beliau menyertai Jordan Henderson, Charlie Adam, Stewart Downing dan penjaga gol, Doni menyertai Liverpool musim ini. Dengan pembelian terbaru ini, Liverpool sudah berbelanja lebih 50 Juta Pound sebagai persediaan untuk memenangi kembali takhta Liga Perdana Inggeris.

Datuk Tony Fernandes Bakal Miliki Kelab QPR

Usahawan ternama Malaysia yang juga Pengerusi Eksekutif Airasia, Datuk Tony Fernandes dilaporkan semakin hampir untuk mempersetujui perjanjian pembelian kelab Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR). Laporan media di England menyatakan bahawa Tony akan melengkapkan pembelian 62% saham kelab QPR milik supremo F1, Bernie Ecclestone dengan nilai 100 Juta Pound dan menjadikannya pemegang saham majoriti kelab itu dan mempunyai kuasa penuh keatas kelab itu.

Tony yang sebelum ini pernah berusaha untuk membeli kelab kegemarannya, West Ham 2 tahun lepas tetapi gagal. Principal pasukan F1 Team Lotus itu juga sebelum ini pernah dikaitkan dengan Manchester United. Tony kini berada di London untuk membincangkan pembelian itu, dikatakan bersedia memberikan pengurus QPR, Neil Warnock 10 Juta Pound untuk membeli pemain baru sekiranya berjaya membeli kelab itu.

Tony akan menjadi rakyat Malaysia pertama mempunyai kelab Liga Perdana Inggeris. Sebelum ini, 2 usahawan terkenal, Datuk Vincent Tan dan Datuk Chan Tien Ghee membeli kelab Liga Championship, Cardiff City tahun lepas. Cardiff City gagal menyertai Liga Perdana Inggeris musim ini selepas tewas dalam saingan play-off.

Chelsea Lancar Jersi Ketiga Musim 2011/2012

Adidas dan Chelsea hari ini melancarkan jersi ketiga kelab untuk musim 2011/2012. Jersi yang dihasilkan Adidas dengan teknologi TechFit ini dikatakan boleh membantu pemain meningkatkan prestasi semasa bermain. Teknologi ini dapat meningkatkan kelajuan serta ketahanan pemakai.

Jersi yang berwarna putih dengan corak jalur di dada berwarna kuning dan hitan dikatakan hampir menyerupai jersi mush setempat mereka di London, Tottenham Hotspur. Jersi ini boleh didapati di laman web Chelsea dan akan mula diedarkan kepada pembeli 25 Ogos nanti.

Tuesday 9 August 2011

Arsenal Belanja Besar Beli Bintang Remaja Southampton

Arsenal bersetuju membayar Southampton sehingga 11.5 Juta Pound untuk pemain muda berpotensi tinggi, Alex Oxlade-Chamberlain. Ini menjadikan dia pemain kedua dibeli Arsene Wenger menjelang musim baru Liga Perdana Inggeris selepas Gervinho menyertai The Gunners bulan lepas. Oxlade-Chamberlain telah lama diintai oleh Arsenal dan beberapa kelab lain termasuk Manchester United dan Liverpool sebelum ini.

Pemain sayap yang amat berbakat itu baru sahaja berusia 18 tahun dan diiktiraf antara pemain muda paling berbakat di England kini. Perjanjian yang telah lama dirunding Arsenal ini hampir tidak menjadi kenyataan apabila Southampton meminta bayaran yang tinggi. Wenger yang gembira dengan perjanjian ini menyifatkan Oxlade-Chamberlain sebagai seorang pemain kreatif yang boleh bermain dikedua-dua bahagian sayap dan sangat versatil.
Gary Cahill menjadi pilihan utama Wenger
Sementara itu, Arsenal kini terdesak mencari pemain pertahanan baru selepas mendapat berita Thomas Vermaelen mengalami kecederaan dan mungkin akan terlepas beberapa aksi awal Liga Perdana Inggeris. Gary Cahill menjadi pilihan Utama mereka namun Bolton tidak akan melepaskan aset penting mereka itu dengan harga yang murah. Bolton mahu sekurang-kurangnya 15 Juta Pound untuk Cahill.


Sertai Liga BBT 2011/2012 Fantasy Premierleague.com

Monday 8 August 2011

Mancini Nafi Laporan Sneijder Bakal Sertai City


2 hari lepas BBT membuat laporan bahawa Inter Milan sudah bersetuju menjual Wesley Sneijder kepada Manchester City dengan yuran perpindahan melebihi 30 Juta Pound. Tapi, perkembangan terbaru menunjukkan bahawa tiada perjanjian yang dicapai kedua-dua kelab berkenaan Sneijder.

Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menafikan laporan bahawa kelabnya sudah bersetuju mendapatkan pemain tengah Inter Milan, Wesley Sneijder. Mancini yang ditanya wartawan selepas kekalahan kelabnya kepada United dalam Piala Community Shield menyatakan bahawa Sneijder masih lagi pemain Inter dan beliau tidak pernah berbincang mengenai perpindahahn pemain itu ke City.

Sneijder juga menafikan laporan bahawa kelabnya sudah bersetuju menjualnya kepada City dengan nilai 36 Juta Pound. Pemain berusia 27 tahun itu berkata, dia tidak pernah berhubung dengan mana-mana wakil dari City mahupun United. Beliau bagaimanapun sedar bahawa Inter bersedia menjualnya sekiranya mendapat tawaran yang baik dari mana-mana kelab yang berminat dengan khidmatnya.
Apakah kesudahan buat Sneijder?
Nampaknya, masa depan Sneijder masih belum tentu dan pelbagai laporan dibuat setakat ini hanyalah gosip semata-mata. Namun, dengan masalah kewangan yang menimpa Inter Milan, kemungkinan besar Sneijder akan meneruskan kariernya di tempat lain musim depan.


Sertai Premierleague.com Fantasy, Liga BBT 2011/2012

Sunday 7 August 2011

United Bangkit Tundukkan City Untuk Rangkul Piala Community Shield

Juara Bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester United melaungkan amaran awal kepada pencabar lain apabila bangkit dari ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama untuk menewaskan Manchester City 3-2. Perlawanan pembuka tirai Liga itu dilangsungkan di Stadium Wembley. Nani muncul wira dengan menjaringkan 2 gol untuk United dengan gol kemenangan dijaringkan pada masa kecederaan.

United menguasai hampir keseluruhan permainan namun gagal memecah kebuntuan. Berbeza dengan City yang bijak menyempurnakan peluang yang terhidang untuk selesa mendahului pada separuh masa pertama menerusi tandukan Joleon Lescott dan rembatan deras Edin Dzeko.

United membuat beberapa perubahan diseparuh masa kedua dan berjaya menyamakan kedudukan selepas 12 minit separuh masa kedua bermula. Gol dijaringkan pemain pertahanan Chris Smalling dan Nani. Kelekaan pertahanan City lewat permainan membawa padah apabila Nani mengambil kesempatan kesilapan Kompany untuk menewaskan Joe Hart untuk gol kemenangan.

Ketiga-tiga muka baru yang dibeli United bermain manakala hanya Gael Clichy sahaja yang tampil untuk City dengan Aguero dan Savic di bangku simpanan. Melihatkan aksi kedua-dua pasukan, musim baru Liga Perdana Inggeris bakal memberikan cabaran yang hebat dan lebih menarik lagi.

Sertai Liga BBT EPL fantasy 2011/2012

Fantasy Premier League 2011/2012: Liga BBT


Laman web rasmi Liga Perdana Inggeris telah lama mewujudkan permainan Fantasi Liga Perdana Inggeris dimana anda boleh memilih sendiri pemain-pemain dan bina pasukan anda sendiri untuk saingan sebenar Liga Perdana Inggeris. Permainan ini sangat terkenal diseluruh dunia malah amat terkenal di Malaysia sendiri dimana Malaysia antara negara yang mempunyai pemain paling ramai di dunia.

BBT telah mewujudkan Liga sendiri untuk musim 2011/2012 dimana sesiapa sahaja boleh menyertainya dan bakal menjadi antara topik yang akan dibincangkan setiap masa di fanpage facebook BBT. Ayuh sertai segera. Bina pasukan anda dan sertai Liga BBT.

Kod Liga BBT 2011/2012 : 215953-248464


Bina Pasukan Fantasi Anda disini

Saturday 6 August 2011

Sneijder Akhirnya Ke Manchester; Bukan United Tapi City

Wesley Sneijder yang dikaitkan sepanjang masa dengan Manchester United dikatakan hampir pasti akan bermain untuk musuh ketat yang juga jiran United, Manchester City musim depan. Ini kerana City dilaporkan bersetuju membayar Inter Milan 31 Juta Pound dan menawarkan Sneijder kontrak bernilai 5 Juta Pound setahun.

Berita ini tentunya mengejutkan peminat-peminat United yang berharap agar Sneijder akan menyertai mereka dan dianggap pengganti ideal kepada Paul Scholes yang bersara penghujung musim lepas. Perjanjian antara City dan Inter Milan juga turut akan menyaksikan Carlos Tevez mungkin akan menyertai Inter secara pinjaman.

Friday 5 August 2011

Keputusan Undian Kumpulan Piala Malaysia 2011

Berikut merupakan keputusan undian peringkat kumpulan bagi saingan Piala Malaysia 2011 yang baru sahaja selesai dilakukan petang tadi:

Kumpulan A: Kedah, Perak, Sabah dan Johor
Kumpulan B: Terengganu, Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby
Kumpulan C: Kelantan, Johor FC, Felda United dan Sarawak
Kumpulan D: Selangor, T-Team, Kuala Lumpur dan PDRM

Berikut pula adalah jadual pertandingan Piala Malaysia:

Peringkat Kumpulan: 6, 10, 13, 17, 24 dan 27 September
Suku Akhir: 4 dan 8 Oktober
Separuh Akhir: 14 dan 22 Oktober
Akhir: 29 Oktober

Undian Peringkat Kumpulan Piala Malaysia 2011

Saingan bola sepak tempatan akan diteruskan dengan saingan Piala Malaysia 2011 yang akan bermula selepas hari raya nanti. Undian bagi menentukan kedudukan pasukan dalam kumpulan di Piala Malaysia nanti pula akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari ini jam 5.30 petang.

Format pertandingan untuk tahun ini dikekalkan dengan 16 pasukan iaitu 11 dari Liga Super dan 5 dari Liga Perdana akan dibahagikan kepada 4 kumpulan (1 kumpulan mempunyai 4 pasukan). Undian akan dibuat dengan kesemua pasukan dibahagikan kepada 4 balang mengikut pilihan yang ditetapkan FAM. Berikut merupakan balang dengan pasukan-pasukan.


Setiap pasukan dalam setiap balang(Pot) akan mengisi setiap kumpulan (A,B,C dan D). Berikut pula adalah jadual pertandingan Piala Malaysia:

Peringkat Kumpulan: 6, 10, 13, 17, 24 dan 27 September
Suku Akhir: 4 dan 8 Oktober
Separuh Akhir: 14 dan 22 Oktober
Akhir: 29 Oktober

Undian yang bakal dijalankan akan disiarkan secara langsung oleh Astro Arena.

Wednesday 3 August 2011

Javier Pastore Pilih Sertai PSG

Pemain muda berbakat Argentina, Javier Pastore mengumumkan akan menyertai kelab Perancis, Paris St. Germain (PSG) selepas Palermo bersetuju melepaskannya. Chelsea yang sebelum ini sering dikaitkan dengan Pastore nampaknya akan berputih mata dengan keputusan yang diambil Pastore ini. PSG dilaporkan membayar 37 Juta Pound kepada Palermo, satu rekod baru bagi Liga Perancis (Ligue 1).
Wikipedia 'mengesahkan' Pastore sudah menyertai PSG
Pastore dalam laman webnya membuat kenyataan bahawa dia sudah rasmi menjadi pemain PSG dan hanya perlu melengkapkannya dengan menjalani ujian kesihatan. PSG merupakan antara kelab yang berbelanja besar musim ini selepas kelab itu diambil alih oleh Qatar Investment Group penghujung musim lepas. Pastore menjadi pemain ke-8 dibeli PSG. Antara pemain lain yang dibeli adalah bekas pemain Liverpool, Mohamad Sissoko dan pemain muda Perancis, Jeremy Menez. Pastore kini berusia 22 tahun dan dipilih pemain muda terbaik Serie A Itali musim lepas.
Berbatov juga diintai PSG
PSG kini juga turut dikaitkan dengan penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov. Berbatov yang kehilangan tempat dalam kesebelasan utama United selepas kehadiran Javier Hernandez dilaporkan menarik minat PSG dan sanggup membayar sehingga 18 Juta Pound untuk pemain Bulgaria itu. Berbatov masih mempunyai baki 1 musim dalam kontraknya bersama United selepas menyertainya dari Tottenham Hotspurs pada 2008 dengan yuran perpindahan 30.75 Juta Pound.

Nuffnang ads

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...